Like us on Facebook

Saturday, July 2, 2016

Beli-Belah Dalam Talian Jadi Pilihan Gen Y



KUALA LUMPUR – Sektor runcit secara dalam talian yang sedang berkembang pesat, semakin menjadi pilihan utama Gen Y Malaysia, yang sudah sebati dengan penggunaan peranti elektronik sejak kecil lagi.
Membeli-belah secara dalam talian memang menjimatkan masa dan wang, kata penggemar tegar kaedah itu, Danial Hazwan, 25, yang bertugas sebagai ejen insurans.
“Selalunya, apabila kita membeli secara dalam talian, mereka akan menawarkan jumlah diskaun dan insentif lain yang tidak kita jangka,” katanya.
Pemuda ini berkata, mereka yang membeli-belah secara dalam talian juga beruntung kerana tidak akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, masalah yang kerap dialami apabila seseorang itu keluar untuk membeli-belah seperti biasa.
Nabila Noordin, 27, pula berkata dia begitu kagum dengan kemudahan yang terdapat dalam kaedah membeli-belah secara dalam talian kerana barangan yang dibeli boleh dihantar ke mana sahaja di negara ini.

“Sekali tu, saya sedang bercuti di Pulau Pinang, browser pada telefon bimbit saya menunjukkan sebuah kedai perabot terpakai yang bersedia menghantar barangan besar ke rumah saya di Kuala Lumpur,
“Macam silap mata, tapi ia benar-benar terjadi. Gembira sungguh apabila mendapat tahu terdapat perkhidmatan seperti itu,” kata peguam berkenaan.
Bagaimanapun, bagi yang belum membiasakan diri dengan fenomena membeli-belah secara dalam talian, kaedah itu mungkin memberi masalah kepada mereka.
Bagi Remy Salleh, 33, kaedah membeli-belah secara dalam talian menjadi punca jualan butiknya, yang menawarkan pakaian wanita, menjadi merosot.
“Saya perlu kenakan bayaran lebih untuk menampung perbelanjaan seperti sewa kedai dan membayar bil, tapi pengusaha kedai secara dalam talian boleh memberi diskaun tambahan kepada pelanggan kerana mereka hanya beroperasi dari rumah sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, kata Remy, mujurlah masih ada pelanggan yang lebih suka “melihat dan merasa” dahulu sebelum membeli sesuatu barangan. – BERNAMA